Sebahagian penduduk Kampung Pemerihan di Pesisir Barat, wilayah Lampung, terpaksa menghadapi arus deras dan berenang di sungai semata-mata untuk mengkebumikan jenazah, mengikut laporan portal berita KOMPAS pada kelmarin.
Mereka terpaksa mengambil langkah ini kerana tiada jambatan yang dibina di sepanjang sungai tersebut.
“Kami amat terkesan dengan tindakan warga Kampung Pemerihan yang menghadapi sungai Way Pemerihan untuk membawa jenazah pada Selasa lalu,” demikian menurut keterangan yang dimuat naik di Instagram.

Roziddin, seorang penduduk setempat, menyatakan bahawa situasi ini berulang setiap kali ada penduduk yang meninggal dunia ketika musim tengkujuh.
“Kami sangat memerlukan bantuan dari pemerintah pusat untuk membina sebuah jambatan menuju ke kawasan perkuburan,” katanya.
Dalam video yang dikongsi, kelihatan sekelompok penduduk berusaha dengan susah payah membawa jenazah melintasi sungai yang airnya deras.
Jenazah tersebut diletakkan di atas pelampung yang diperbuat daripada tayar kenderaan.
Penduduk kampung terpaksa berenang dan mendorong jenazah untuk sampai ke seberang sungai sebelum melanjutkan perjalanan ke kawasan perkuburan.
Video ini mendapat perhatian dan pelbagai komen dari netizen.
“Semoga Pak @jokowi dapat melihat ini,” kata seorang netizen sambil merujuk kepada akaun Instagram Presiden Indonesia.
“Ini sedih kerana masih terdapat situasi seperti ini,” komen netizen yang lain.