Sejak kebelakangan ini, kita dapat melihat peningkatan bilangan kedai makan dengan pelbagai konsep yang menjadi tarikan ramai. Walaupun begitu, terdapat beberapa kedai yang menjadi tanda tanya di kalangan netizen berkenaan status halal mereka, dan terdapat pertanyaan mengenai mengapa beberapa kedai ini tidak memohon sijil halal.
Isu ini telah diterangkan oleh seorang pengusaha F&B di X yang dikenali sebagai Chan Wern Shen. Beliau memiliki sebuah restoran yang menyajikan makanan Bangladesh di Coox Glo Damansara. Wern Shen mengakui bahawa proses untuk mendapatkan sijil halal adalah rumit dan melibatkan kos yang tinggi.
Namun demikian, Wern Shen menjelaskan bahawa beliau sentiasa peka terhadap pelanggan Islamnya dan tidak mungkin cuba ‘mensabotaj’ perniagaannya sendiri dengan menggunakan bahan yang tidak halal. Beliau menyatakan bahawa kebanyakan bahan yang dibeli dari pasaran disertakan dengan sijil halal, sebagai contoh, ayam yang dibelinya dari pasar raya.
Beliau turut mengakui bahawa memohon sijil halal adalah mahal dan sukar disebabkan banyak syarat yang dikenakan, seperti mempunyai pekerja sepenuh masa yang ramai. Sebagai pengusaha kecil, ini merupakan cabaran yang sukar kerana kekangan bajet.
Wern Shen menegaskan bahawa walaupun bukan beragama Islam, dia tetap memahami keperluan dan syarat halal bagi pelanggan Muslim yang datang ke kedainya. Beliau menjelaskan bahawa kedainya tidak menggunakan arak atau bahan tidak halal dalam masakan. Selain itu, kebersihan dapur juga dijaga dengan rapi dan dipatuhi SOP ketat berkaitan kebersihan yang ditetapkan oleh KKM.
Walaupun tidak mempunyai sijil halal, Wern Shen tidak keberatan untuk memberitahu pelanggannya tentang status ini. Dia mengakui bahawa hak pelanggan untuk membuat keputusan, dan dia tidak akan menghalang atau marah jika pelanggan memilih untuk tidak makan di kedainya.
Dalam ruang komen, ramai yang memuji kejujuran pemilik kedai ini, sementara ada yang menyatakan bahawa mendapatkan sijil halal sebenarnya tidak mahal, tetapi harga mungkin telah ‘ditekan’ oleh pihak konsultan. Wern Shen menyatakan bahawa dia diberitahu harga sebanyak RM9,000 untuk mendapatkan sijil halal, selain dari penambahan pekerja sebagai syarat.
Dalam pada itu, pemilik kedai telah mengakui bahawa kedainya tidak mempunyai sijil halal, tetapi semua bahan yang digunakan adalah bersijil halal. Keputusan untuk makan di kedai tersebut atau tidak kini bergantung pada keyakinan dan kepercayaan masing-masing pelanggan.
Sebagai seorang pengusaha F&B, ada sedikit luahan yang saya ingin kongsikan mengenai issue Halal cert.
— Chan Wern Shen (@wernshen) January 3, 2024
* Saya berbangsa Malaysian Chinese, dan non-Muslim.
1. Kita peka kepada customer base, dan kita tidak mungin akan membuat sesuatu untuk membunuh business kita sendiri…