Penumpang kecewa dihalau keluar dari pesawat, gara-gara mengadu tempat duduk bau muntah dekat pramugari

Penumpang kecewa dihalau keluar dari pesawat, gara-gara mengadu tempat duduk bau muntah dekat pramugari.

Apabila menaiki pesawat sudah tentu anda ingin berada di dalam keadaan yang selesa.

Malah segelintir penumpang sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkan servis yang lebih selesa sepanjang perjalanan mereka, khususnya bagi penerbangan yang memakan masa lama.

Namun apabila seseorang penumpang itu tidak mendapat keselesaan yang diinginkan ketika menaiki pesawat pasti mereka akan membuat aduan kepada pihak berkenaan seperti pramugara.

Penumpang buat aduan tempat duduk dalam penerbangan berbau
Perkara ini samalah seperti apa yang dilakukan oleh dua orang penumpang dalam sebuah penerbangan apabila membuat aduan kepada pramugari mengenai bau yang tidak disenanginya semasa menaiki pesawat dari Las Vegas ke Montreal pada 26 Ogos lalu.

Aduan itu dibuat oleh penumpang berkenaan selepas mendapati kerusi terbabit mempunyai kesan muntah yang ditinggalkan oleh penumpang sebelumnya.

Penumpang kecewa dihalau keluar dari pesawat, gara-gara mengadu tempat duduk bau muntah dekat pramugari

Diminta keluar dari penerbangan sambil diiringi pihak keselamatan
Namun siapa sangka selepas membuat aduan mereka telah diminta keluar dari penerbangan tersebut sambil diiringi pihak keselamatan.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang wanita yang bernama Susan Benson menerusi satu hantaran di Facebook.

Dakwa Benson, terdapat dua wanita serta seorang lelaki yang berusaha untuk mendapatkan tempat duduk mereka ketika berada dalam penerbangan AC 1706.

Manakala dia ketika itu duduk di barisan bahagian belakang daripada penumpang terbabit.

“Terdapat sedikit bau busuk tetapi kami tidak tahu daripada mana masalah itu.

“Nampaknya dalam penerbangan sebelum ini terdapat muntah di kawasan berkenaan. Air Canada cuba untuk membersihkannya secepat mungkin sebelum penumpang lain menaiki pesawat namun ia tidak dapat dibersihkan secara menyeluruh,” kata Benson, lapor The Straits Times.

Letak serbuk kopi dan sembur minyak wangi untuk hilangkan bau
Ujarnya syarikat penerbangan itu bagaimanapun meletakkan serbuk kopi di dalam kantung di bahagian tempat duduk serta menyembur minyak wangi bagi mengatasi bau muntah.

Penumpang kemudian memaklumkan kepada pramugari bahawa tali pinggang pada tempat duduk basah serta masih mempunyai sisa muntah yang dapat dilihat.

Pramugari itu kemudian mohon maaf dan berulang kali memaklumkan kepada penumpang berkenaan bahawa tiada apa yang dapat dilakukan kerana penerbangan penuh.

Mereka kemudian terus bertengkar dalam tempoh beberapa minit dengan pramugari pesawat sebelum penyelia datang berhubung isu terbabit.

Juruterbang beri penumpang dua pilihan
Namun selepas penumpang itu kembali ke tempat duduk, seorang juruterbang datang dan menyatakan penumpang itu mempunyai dua pilihan iaitu mereka boleh meninggalkan pesawat dengan rela hati dan membuat pembelian tiket di penerbangan baharu yang perlu ditanggung sendiri atau diiring keluar dari pesawat oleh pegawai keselamatan dan diletak dalam senarai larangan terbang.

“Apabila mereka bertanya mengapa, dia berkata mereka kurang ajar dengan pramugari. Namun mereka tidak kurang ajar! Mereka hanya kecewa dan tegas bukan kurang ajar,” tulis Benson.

Penumpang lelaki di barisan sama cuba untuk membantu apabila menjelaskan mengenai keadaan sebenar kepada juruterbang terbabit, tetapi wanita itu telah diiring keluar dari pesawat.

“Apa yang kami tahu pegawai keselamatan datang dan mengiring dua wanita itu keluar dari pesawat! Untuk apa? Kerana tidak mahu duduk di tempat duduk mempunyai kesan muntah selama lima jam (tempoh perjalanan pesawat).”

Walau bagaimanapun dalam satu kenyataan CNN, Air Canada telah memohon maaf kepada penumpang terbabit.

“Ini kerana, mereka tidak mendapat standard layanan yang sepatutnya.

“Kami sedang meneliti isu ini secara serius dan telah menghubungi pelanggan tersebut secara langsung kerana prosedur operasi yang tidak dipatuhi dengan betul dalam isu ini,” ujar syarikat itu.

BACA:
Wanita bekerjaya harus berwaspada, ramai terjerat dalam ‘scammer’ perkahwinan
Ronaldinho digesa buat ujian DNA, muka pemain bola wanita berasal dari Afrika seakan sama
Penumpang kapal terbang buat perangai, selamba lunjur kaki dan sebarkan bau busuk dekat orang lain