Pernah tak rasa jantung tiba-tiba berdegup laju? Ini jawapan dan punca yang ramai tak tahu.
Pernahkah anda merasakan denyutan jantung yang tiba-tiba laju tanpa sebab ketika sedang berehat? Walaupun ia mungkin berlaku buat sementara waktu dan tidak membahayakan, namun jika berulang atau berlangsung untuk tempoh yang lama, adalah disyorkan untuk berjumpa dengan doktor.
Dr Zubaidi Hj Ahmad berkongsi mengenai beberapa punca masalah kesihatan ini yang perlu diketahui.
Satu keadaan yang dikenali sebagai aritmia boleh berlaku akibat pengambilan kopi berlebihan atau serangan panik (panic attack). Namun, ia bukanlah tanda yang serius.
Terdapat empat keadaan lain yang perlu diambil perhatian:
Jantung berdebar disebabkan oleh penyakit sumbatan saluran darah arteri koronari pada jantung.
Penumpukan plak akibat peningkatan tahap kolesterol dan kalsium pada saluran darah boleh menghalang pengaliran darah ke jantung, menyebabkan ketidaknormalan fungsi jantung dan menyebabkan denyutan jantung yang tidak terkawal.
Aritmia selepas pembedahan jantung.
Pembedahan jantung dapat mengubah cara jantung berfungsi, termasuklah cara degupannya. Ini dapat meningkatkan risiko aritmia jantung.
Perubahan pada otot jantung. Jika pernah mengalami serangan sakit jantung, otot jantung mungkin mengalami tisu parut, menyebabkan denyutan jantung yang tidak normal.
Aritmia jantung disebabkan oleh ketidakseimbangan mineral. Jantung memerlukan keseimbangan mineral seperti natrium, magnesium, dan kalium. Jika terdapat ketidakseimbangan dalam mineral ini, jantung dapat berdegup secara tidak teratur.
Tanda-tanda denyutan jantung yang cepat dan berbahaya termasuklah pening kepala, pengsan, sesak nafas, dan sakit di kawasan dada. Simptom ini boleh menjadi petunjuk kepada serangan sakit jantung. Dalam situasi ini, segera dapatkan bantuan perubatan dari doktor.