Pihak tak bertanggungjawab buat taman permainan jadi kebun sayur, ramai puas hati tengok MBAS cantas tanaman.
Menurut MBAS, kawasan lapang tersebut adalah ruang terbuka yang diperuntukkan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara untuk kegunaan rekreasi.
‘Berbudi pada tanah, pasti akan mendapat hasilnya,’ adalah peribahasa yang sering didengar untuk memberi galakan kepada orang ramai agar bercucuk tanam.
Namun, itu bukanlah tindakan yang baik dan sesuai dilakukan jika ada pihak yang bercucuk tanam di kawasan yang tidak patut atau dilarang.
MBAS membuang tanaman dan meruntuhkan binaan sementara di taman perumahan
Baru-baru ini, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah melaksanakan operasi membuang tanaman perkebunan dan meruntuhkan binaan sementara di kawasan lapang di Taman Bersatu Fasa 4, Jalan Batas Paip, Kuala Kedah pada Selasa lepas (19 Disember).

Melalui satu hantaran di akaun Facebook rasminya, MBAS menyatakan bahawa siasatan yang dijalankan mendapati kawasan lapang tersebut telah diceroboh oleh individu tidak bertanggungjawab untuk dijadikan kawasan kebun secara haram untuk kegunaan peribadi dan dijual.
Kawasan lapang disediakan untuk tujuan rekreasi, bukan bercucuk tanam
MBAS menjelaskan bahawa tapak tersebut adalah kawasan lapang yang disediakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara untuk tujuan rekreasi.
“Perizaban tanah Kerajaan adalah amat penting bagi menjaga kepentingan awam dan merupakan salah satu kaedah untuk mengawal tanah Kerajaan daripada pencerobohan.
“Perizaban tanah Kerajaan juga merupakan kaedah untuk melindungi kepentingan awam daripada diberi milik kepada individu atau mana-mana perbadanan atau badan yang ditetapkan di bawah seksyen 43 Akta 828,” katanya.
Operasi dilaksanakan oleh MBAS dan pihak berkaitan
MBAS menyatakan bahawa operasi tersebut dilakukan oleh Unit Pembangunan Landskap, Bahagian Landskap dan Rekreasi, Jabatan Perancangan Pembangunan, MBAS dan melibatkan beberapa jabatan lain dalam majlis bandaraya tersebut.
Tindakan tersebut adalah kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Perenggan 3 (d) Undang-Undang Kecil (Taman) Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah 1983.
Difahamkan, MBAS telah mengeluarkan notis pemberitahuan sebelum melaksanakan operasi pada 26 November lalu.
Netizen memberikan pujian dan puas hati dengan tindakan MBAS
Dari ruangan komen, rata-rata pengguna Facebook puas hati dan memuji tindakan yang diambil oleh MBAS.
Netizen juga menggesa agar MBAS terus melakukan pemantauan dan tindakan serupa di kawasan-kawasan lain.