Nama saya Ida, berumur akhir 20-an, bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat besar, baru sahaja mendirikan rumah tangga selama 10 bulan. Suami saya, Ali, berusia awal 30-an, merupakan seorang juruteknik di sebuah kilang dan berasal dari Jepun.
Kami berdua berkahwin bukan atas dasar cinta, tetapi kerana ibunya yang berkenan dengan saya. Pada mulanya saya menolak mentah-mentah, tidak mahu, kerana saya ingin membina kerjaya terlebih dahulu, membeli kereta, membeli rumah, dan kemudian barulah memikirkan tentang perkahwinan.
Namun, ibunya berkata, “Sampai bila? Ramai perempuan di luar sana yang sudah berusia 30-an tetapi masih belum berkahwin, sudah tiada orang yang ingin, ketika muda sibuk mencari duit, bila tua tidak laku.” Mendengar pandangan itu, saya terkejut kerana bagi saya pandangan itu agak kolot.
Tidak ada istilah terlalu tua untuk berkahwin, jika jodohnya belum sampai tidak boleh main tangkap sahaja lelaki di tepi jalan dan terus berkahwin. Dia bersungguh-sungguh memujuk saya untuk berkenalan dengan anaknya. Saya menolak, tetapi akhirnya menerima juga kerana tidak suka ibunya meminta berkali-kali. Itu pun saya cakap awal-awal, hanya berkenalan sahaja, tidak lebih dari itu.
Ali ini pernah bercinta beberapa kali sebelum ini, tetapi bekas kekasihnya yang terakhir kantoi membawa lelaki lain masuk rumah, itu yang membuatkan dia trauma dengan perempuan, itulah yang saya dengar dari ibunya. Katanya dia memang tidak mahu lagi dengan mana-mana perempuan, tidak mahu berkahwin lagi.
Pada awal perkenalan, ketika berchat, memang hambar, mungkin kerana kami berdua memang tidak mahu kenal satu sama lain tetapi dipaksa oleh ibunya, jadi kami buat juga. Tetapi saya tidak tahu mengapa tiba-tiba dia terbuka hati, tiba-tiba dia mula melayan saya dengan baik, saya pun tidak tahu mengapa.

Dalam hubungan kami, ibunya yang banyak memainkan peranan, memaksa kami keluar makan, ibunya juga yang bersungguh-sungguh membawa keluarganya datang ke rumah saya untuk berkenalan dengan ibu saya. Akhirnya, ibu saya berkenan dengan Ali.
Selepas beberapa waktu, kami bertunang dan akhirnya berkahwin. Sebelum berkahwin, banyak tanda amaran yang saya nampak pada Ali tetapi saya tidak tahu mengapa, saya diamkan sahaja, tidak cerita kepada ibu saya. Jika ibu saya tahu, saya rasa dia pun tidak akan izinkan saya berkahwin dengan Ali.
Pertama, dari awal perkenalan, Ali sudah berani meminjam duit dari saya, dan sejak itu, setiap minggu dia meminta duit saya dan tidak pernah sekali pun dia bayar balik sehingga sekarang. Jumlah yang dipinjam bukanlah kecil, RM300, RM500, RM700 pernah, ya saya tahu saya bodoh, terlalu cepat percaya, terlalu cepat kesian, terlalu cepat sayang.
Kedua, dia merokok. Setiap kali selepas makan mesti merokok, langsung tidak menghormati saya. Saya tidak biasa dengan bau rokok, arwah ayah saya, abang-abang saya semua tidak merokok. Ada lagi beberapa perkara yang saya perasan tetapi saya bodoh, saya selalu fikir yang selepas kahwin nanti dia mesti berubah tetapi realitinya?
Sejak mula berkahwin sampai sekarang, setiap bulan saya yang bayar sewa rumah, kereta, bil api air, coway, barang-barang dapur, belanja makan, duit rokok dia pun kadang-kadang minta dari saya. Duit hantaran saya habis, tidak ada sesen pun yang saya simpan untuk diri sendiri, semuanya untuk kami berdua, barang dalam rumah, semua beli pakai duit saya, perabot semua, duit hantaran tidak cukup, duit mas kahwin pun dia guna, gelang emas waktu akad nikah pun dia pajak.
Saya yang sebelum ini hidup sendirian boleh ada simpanan sampai RM4-5k, sekarang kosong, apa pun tidak ada. Gaji saya setiap bulan digunakan untuk menanggung rumah tangga kami berdua seolah-olah saya adalah suami. Gaji dia bagaimana?
Gaji dia ada tetapi tidak banyak, asas RM1.8k, dia malas kerja, selalu MC sampai tidak boleh ambil MC lagi, bos dia suruh ambil cuti tanpa gaji, sebulan gaji dia hanya masuk RM1.3k macam itu sahaja. Itupun habis katanya, bayar hutang along. Selepas kahwin baru saya tahu dia ada hutang along.
Banyak perkara saya tahu selepas berkahwin, dia mengambil dadah, ibunya tahu tetapi ibunya sorokkan dari saya, rupanya duit yang dia pinjam sebelum kahwin itu untuk beli dadah. Tetapi jika lihat depan-depan, tidak nampak pun dia seperti itu, sebab dia masih nampak segak, rupa-rupanya…
Sepanjang kami berkahwin, dia memang melayan saya dengan baik mungkin segan kerana saya banyak keluarkan duit jadi jika saya ajak pergi mana-mana atau buat apa pun dia tidak pernah tolak. Terlalu baik sampai bila saya tahu perkara yang dia buat di belakang saya, saya terkejut, macam tidak percaya, dia seperti orang lain di belakang saya.
Dia memang berahsia dengan saya, kata laluan telefon dia memang tidak diberitahu kepada saya, media sosial dia pun tidak ada satu yang saya tahu, dia cakap tidak ada, dia tidak layan semua itu, rupanya menipu. Satu hari saya jumpa Facebook lama dia, penuh gambar dia dengan bekas kekasih dia, berpeluk-peluk pun ada, punya sayang email dia pun nama gabungan mereka, sekali dengan tarikh hari pertama mereka bercinta.
Saya cuba masukkan tarikh itu cuba buka telefon dia, terus buka. Terkejut saya, dia tidak tukar kata laluan telefon dia walaupun sudah berkahwin dengan saya. Dari situ lah saya tahu satu persatu tentang apa yang dia buat di belakang saya, dia ambil dadah, dia mesej perempuan lain di belakang saya, tentang sebelum kahwin dia pernah tidur dengan bekas kekasih dia, check-in hotel banyak kali pun pernah.
Selepas kahwin ini dia tidak cari bekas kekasih dia, tetapi dia cari perempuan lain, di WeChat dia penuh chat dia dengan perempuan semua perbualan lucah, saya sumpah terkejut, saya menangis teresak-esak memikirkan apa salah saya. Saya selalu masak untuk dia setiap hari walaupun saya sibuk kerja, saya selalu hulur duit, duit belanja dia pergi kerja pun saya yang bagi tiap hari, saya layan keluarga dia dengan baik, saya jaga ibu bapa dia bila mereka masuk hospital.
Apa yang kurangnya saya ini sampai dia cari perempuan lain? Kadang-kadang sedih, saya selalu dengar sebelum kahwin, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik begitu juga sebaliknya. Saya sebelum kahwin tidak pernah sentuh mana-mana lelaki, saya jaga kehormatan saya, tetapi saya sedih, akhirnya saya ditakdirkan kahwin dengan lelaki yang pernah disentuh oleh ramai wanita.
Saya sedih sangat, saya tidak tahu nak buat apa, saya tidak tahu nak cerita kepada siapa. Buruk suami saya, satu pun ibu saya tidak tahu. Sampai sekarang ibu saya masih sayang suami saya macam anak dia. Saya tidak mahu mengecewakan perasaan kedua ibu bapa kami, apa yang patut saya buat?
Air mata saya dah kering menangis, saya semakin tawar hati dengan suami saya, jijik pun ada sebab walaupun sudah berkahwin dia boleh tawarkan perempuan tidur di rumah kami waktu saya tiada di rumah, siap tanya, kalau tidak mahu datang rumah, dalam kereta mahu tak?
Allahu, kereta saya itu, atas nama saya, saya yang bayar tiap bulan, duit minyak semua saya yang support, dia dengan muka tidak malu bawa pergi kerja tiap hari, tayang kereta kononnya itu kereta dia, umpan perempuan lain. Saya tidak boleh nak taip lagi, tangan saya menggigil bila teringat satu persatu apa yang saya jumpa dalam telefon dia.
Sampai di sini sahaja yang saya boleh ceritakan. Saya harap ada yang boleh kongsikan, berikan pendapat untuk keadaan saya sekarang. Terima kasih sudi baca cerita saya yang tunggang-langgang ini, doakan saya kuat ya. Sekian. – Ida (Bukan nama sebenar)