Sering kali kita dapat melihat gambar pelaku maksiat dalam media sosial, boleh ke kita sebarkan? Ini jawapan Mufti Pulau Pinang.
Menurut Jabatan Mufti Pulau Pinang, hukum mengelak kemungkaran yang berlaku di hadapan mata merupakan sesuatu yang wajib.
Umum mengetahui, kecanggihan teknologi pada dunia kini menyebabkan segala gambar dan video senang tersebar di platform-platform media sosial sekaligus menjadi bualan ramai.
Pun begitu, ada setengah gambar atau video dilihat tidak sesuai untuk ditunjukkan apabila ia berkaitan dengan aib seseorang.
Jabatan Mufti Pulau Pinang perjelaskan hukum sebar gambar atau video pelaku maksiat
Susulan itu, Jabatan Mufti Pulau Pinang perjelaskan tentang hukum jika menyiarkan gambar atau video pelaku maksiat untuk tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.
Menurut Kosmo yang memetik Jabatan Mufti Pulau Pinang, hukum mengelak kemungkaran yang berlaku di hadapan mata merupakan sesuatu yang wajib.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 110
Jelas jabatan itu lagi, perkara ini juga disampai oleh Allah SWT menerusi Surah Ali-Imran ayat 110.
“Kamu ialah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.”
Surah Ali-Imran, ayat 110
Malah, Abu Sa’id Al-Khudri juga pernah melaporkan sabda Nabi Muhammad SAW tentang nasihat Baginda kepada umatnya jika melihat sesuatu perbuatan kemungkaran.
“Sesiapa dalam kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah mengubahnya dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah mengubahnya dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman.”
Hadis sahih, Imam Muslim
Umat Islam wajib benci dan cegah kemungkaran tapi bukan benci individu yang lakukan
Maka jelas di sini, bahawa umat Islam sememangnya diwajibkan untuk mencegah kemungkaran kerana harus membenci perbuatan mungkar tersebut tetapi bukan membenci individu yang melakukannya.
Dalam satu kisah lain yang dikongsikan pula, pada suatu hari, Abu Darda’ bertemu dengan seorang lelaki yang telah melakukan dosa dan orang ramai di sekitarnya sedang menghina serta mencerca lelaki tersebut. Abu Darda’ berkata: “Apa pendapat kamu, jika lelaki ini jatuh di dalam lubang yang dalam, adakah kamu akan berusaha untuk mengeluarkannya?”
Orang ramai menjawab, “Ya, sudah tentu”. Abu Darda’ berkata lagi, “Jika begitu, janganlah kamu menghina saudara kamu ini. Pujilah Allah kerana Dia telah menyelamatkan kamu daripada melakukan dosa sepertinya.”
Mereka bertanya, “Tidakkah kami boleh memarahinya?” Abu Darda’ menjelaskan, “Sesungguhnya aku membenci perbuatan dosanya sahaja. Jika dia telah meninggalkan dosa itu, dia tetap saudaraku.”
Umat Islam tidak harus jadi pembantu syaitan dengan doakan kecelakaan pendosa
Selain itu, sahabat Nabi iaitu Abdullah bin Mas’ud juga pernah berkata, seseorang umat Islam itu haruslah tidak menjadi pembantu syaitan dengan mendoakan kecelakaan terhadap saudara seagama yang telah melakukan sesuatu dosa.
Sebaliknya, beliau berkata hendaklah mendoakan agar pelaku dosa itu diampunkan oleh Allah SWT.
Hukum sebar gambar orang lakukan dosa adalah haram kerana mengaibkan
Oleh itu, hukum menyebarkan gambar orang yang melakukan dosa adalah haram, kerana ia termasuk dalam mengaibkan saudara seagama.
Pada masa sama, ia juga termasuk dalam perbuatan membantu syaitan menyebarkan maksiat di atas muka bumi ini.
Maka alasan untuk penyebarkan gambar pelaku maksiat agar orang lain dapat mengambil pengajaran adalah tidak boleh dipakai kerana ia tidak menghalalkan perbuatan yang haram tersebut.