“Setiap kali ronda-ronda petang dengan suami saya, mesti dia tunjuk rumah bekas dia, dalam keadaan marah saya suruh dia berhenti dekat rumah bekas dia”

Hai semua, terus terang. Suami saya baik sahaja, membantu saya dengan kerja rumah, menjaga anak… secara keseluruhan, dia okay. Pernah dengar ungkapan “isteri ingin disayangi, suami ingin dihormati”? Cuma masalah dalam hubungan kami sekarang ialah saya.

Ya, saya sedar. Saya tidak mampu menghormati dia, hanya dia seorang. Dengan orang lain, saya memang sopan dan lembut. Lama saya merenung diri sendiri, saya sering persoalkan kenapa? Kenapa? Kenapa? Pukul 2 – 3 pagi saya berfikir sendirian.

Akhirnya saya menemui kesimpulannya, masalah sebenar ialah fikiran saya. Fikiran saya tentang masa silamnya, perangai-perangainya sebelum berkahwin. Benda ini seperti barah, mula-mula ia mengganggu fikiran. Tak lama selepas itu hati saya jadi tak tenteram, sentiasa rasa tak puas hati. Terbit rasa “the unwanted wife”, rasa tidak disayangi dan tidak diingini.

Akhirnya perasaan-perasaan itu terpantul melalui perbuatan. Dan perbuatan tidak menghormati itu lama-kelamaan jadi kebiasaan kepada saya. Mari saya ceritakan kenapa. Pertama, dalam fasa bertunang, beberapa minggu sebelum berkahwin, tiba-tiba dia buka cerita tentang cinta pertamanya.

Cinta pertamanya itu dikenal sejak zaman sekolah rendah lagi dan perasaan itu kekal sampai dia masuk universiti. Suami saya cerita dengan terperinci, tentang mereka bergayut di telefon rumah, tentang ibu bapa saling mengenal. Saya ini, zaman sekolah kalau ibu saya tahu ada orang minat saya, punya la kecut perut sebab confirm kena marah teruk, apatah lagi kalau nak bercerita yang saya ada crush… memang menempah maut la jawabnya.

*"Setiap kali ronda-ronda petang dengan suami saya, mesti dia tunjuk rumah bekas dia, dalam keadaan marah saya suruh dia berhenti dekat rumah bekas dia"*

Lagi pula nama mereka sama. Contohnya macam Zahid, Zahidah begitu. Bengkak sahaja hati saya masa dia cerita. Berbulu telinga, sedih menusuk jiwa. Saya tahan perasaan masa itu. Balik rumah terus saya cari tentang lelaki dan cinta pertamanya, macam-macam la saya jumpa antaranya lelaki tidak akan melupakan cinta pertamanya sampai mati. Sedih.

Tapi saya diam sahaja, tidak respon. Berlakon gembira sahaja dengar ceritanya itu dan pura-pura abaikan. Tak lama lepas itu kami bernikah, baru lagi nikah tidak sampai setahun. Tengah pusing kampung naik motor tiba-tiba dia bawa saya pusing satu taman sambil tunjuk, “haa tu la rumah first love saya”.

Saya suruh dia hentikan motor dan terus menangis di situ. Kali ini saya tidak dapat tahan perasaan sedih sebab saya fikir dia sudah jadi suami saya, kenapa fikirannya masih kepada perempuan lain? Saya tidak pernah bercerita tentang lelaki lain untuk menjaga hatinya, tutup cerita terus kisah lama sebab dalam hati saya hanya ada dia.

Nombor telefon saya sampai nikah dia tidak ingat, tapi nombor first love dia itu berpuluh tahun dia masih hafal. Kali ini saya marah dan dia tidak bercerita lagi hal first love dia itu. Dan pernah saya mengodek album dalam komputer dia, saja nak tengok gambar-gambar dia membesar tapi yang saya jumpa banyak pula gambar first love dia itu. Gambar dari sekolah rendah membawa ke remaja.

Ini barah pertama, perasaan “the unwanted wife” terus datang. Rasa kalau first love dia tidak curang, mesti saya bukan pilihannya. Kedua, selepas dicurangi dan first love dia pun sudah selamat nikah dengan orang lain masa dia masih di universiti.

Dia cuba move on. Salah saya gatal tangan pergi tengok perbualan dia dengan perempuan lain sebelum nikah. Ada satu mesej saya nampak dia minat dekat perempuan ini. Perempuan itu cantik, bertudung labuh, selalu post hal islamik dekat FB.

Dia tidak pernah jumpa pun perempuan itu. Tapi dalam mesej itu dia ajak perempuan itu nikah. Dia buatkan satu surat, panjang surat itu antara isi yang saya ingat kalau awak sudi, saya akan terus hantarkan rombongan dan saya sangat serius.

Isi surat penuh dengan panggilan hormat, panjang berpuitis dan sangat manis bila membacanya. Nak buka surat itu pula kena masukkan kata laluan, memang kreatif bagi saya yang buta IT ini. Sekali lagi saya sedih, saya tidak pernah dipanggil dengan sehormat itu, sebelum nikah dia panggil saya pengemis, nenek sahaja. Saya tidak pernah dapat surat cinta daripada dia.

Saya teringat balik, dia hanya ajak saya nikah dengan tanya sepatah “boleh nikah tak tahun ini”, itu pun lepas saya persoalkan perasaannya kepada saya. Saya persoalkan sebab dia pernah confess 2 – 3 tahun sebelum, “saya rasa saya dah tersuka awak”, begitu sahaja. Tidak panjang, tidak berpuitis.

Sekali lagi, perasaan “the unwanted wife” muncul, rasa saya bukan pilihannya.. saya hanya stok akhir bila tiada orang lain yang nak dekat dia. Untuk hilangkan rasa sedih itu, saya paksa dia buat juga surat untuk saya. Saya nak juga merasa surat cinta daripada dia.

Saya pegang konsep, dengan lelaki ini kita tidak boleh cakap berlapik, mereka tidak faham bahasa kiasan. Jadi saya minta surat cinta dan bunga, nak naikkan semangat sendiri… nak rasa juga orang betul-betul nak.

Beratus kali paksa baru dia buat surat untuk saya. Tapi saya tidak rasa syok pun sebabnya surat itu bukan dari kerelaan hati dia, surat paksaan dan surat itu pun dimulai dengan “disaat kau tengah berdengkur diulik mimpi, aku bla3…”

Tidak romantik macam surat yang dia ikhlas buat untuk perempuan itu. Bunga yang saya minta pun sampai ke hari ini tidak dapat walaupun sudah hampir 7 tahun saya nikah dengan dia. Banyak kali juga saya minta, nak rasa juga sekali seumur hidup dapat bunga dari dia… tidak kesampaian lagi. Takpe lah, takde rezeki lagi.

Ketiga, lagi sebab kegatalan tangan saya nak pergi cek mesej lama dia buat saya terluka sendiri. Rupanya ramai perempuan sebelum saya dia flirt. Orang sekeliling saya ramai dia berkenan, tapi semua reject. Saya sahaja yang sangkut.

Saya pun tak faham dengan diri sendiri, sebelum nikah ada lelaki yang menangis-nangis nak dekat saya, hantar mesej panjang romantik, bagi macam-macam hadiah tapi saya pergi pilih dia. Sampai hari akad nikah pun lelaki yang nakkan saya itu pujuk malam sebelum akad nikah, menangis hari kejadian. Tapi saya pergi pilih dia, dia yang layan saya lebih kurang.

Sebab? Kononnya saya fikir kalau dia tak romantik dengan saya, dengan orang lain pun dia tak akan romantik. Ibu saya pun paling berkenan dengan dia lepas saya buat presentation lelaki-lelaki yang nakkan saya. Haha ayat macam ramai peminat.

Tidaklah, tahun saya nak nikah itu ada la nampak 3 – 4 orang yang betul-betul serius dan ibu saya pilih dia sebab nampak dia paling tinggi ilmu agama. Dia pilihan pertama saya, tapi saya pilihan terakhir dia. Akhir sekali, suami saya jarang memberi saya nafkah batin. Biasanya sebulan sekali atau dua bulan sekali sahaja.

Dulu zaman saya remaja, saya suka baca cerpen dan novel. Suka baca kisah cinta. Novel tebal-tebal macam Harry Potter tidak sampai seminggu saya sudah khatam. Tidak puas dengan novel saya cari lagi cerpen-cerpen dekat Google.

Ada satu kisah ini tentang perempuan yang minat sangat dengan lelaki itu sampai sanggup sihirkan dia. Pendek cerita akhirnya lelaki itu jadi miliknya tapi lelaki itu tetap tidak mahu buat hubungan badan dengan dia sebab hati dia teguh mencintai perempuan lain.

Saya ini kaitkan cerpen itu dengan kisah saya, fikir mungkin saya hanya dapat jasad suami saya… tapi bukan hatinya sebab itu dia jarang nak sentuh saya, beri saya nafkah batin. Barah perasaan “the unwanted wife” datang berkali-kali.

Saya cuba lupakan semua memori pahit ini tapi nak buat macam mana, Allah anugerahkan ingatan yang kuat kepada saya. Orang hanya perlu baca nombor telefon atau nombor IC sekali sahaja terus saya dapat hafal. Benda sekecil itu pun saya ingat apatah lagi benda-benda besar yang berbekas di hati saya.

Benda-benda ini saya cuba hapuskan dari fikiran, tapi dia tetap menyemak serabut di otak saya. Sebenarnya dulu ada orang yang ada “ilmu” kata, ada orang hantar sesuatu kepada saya sebab tidak boleh terima saya reject dia, jadinya hubungan saya dan suami sentiasa panas.

Bila dia kata begitu, saya pun ambil ikhtiar pergi Darul Syifa untuk berubat. Masa berubat itu ustaz suruh saya pejam mata sambil dia baca ayat-ayat suci al-Quran. Makin lama makin kuat suara dia. Suami saya ada sekali dalam bilik rawatan itu, jadi dia nampak bila muka ustaz itu terkejut sangat-sangat.

Selesai rawatan ustaz itu cerita, dalam rawatan hanya sesekali dia diberikan kasyaf tapi kali ini dia nampak pocong keluar dari kepala saya. Pocong itu yang selalu ada dekat kepala saya, kacau fikiran saya, buat saya stress tidak tentu hala. Wallahu A’lam.

Saya cuma harap saya dapat pertahankan rumah tangga saya dari fikiran saya sendiri. Saya sayang suami saya, saya sayang anak saya, saya sayang rumah tangga ini. Cuma kadang-kadang bila saya rasa tidak disayangi, saya tidak dapat kembalikan rasa hormat itu kepada suami. Setakat ini dahulu, panjang berjela pula jadinya. Terima kasih sudi baca luahan saya. Assalamualaikum – Na (Bukan nama sebenar)

BACA:
“Segala perbuatan yang suami saya lakukan membuatkan saya jadi lali, paling saya tak boleh terima ketika saya nak bersalin anak pertama”
“Saya tak sangka, suami yang saya dambakan dan yang cukup sempurna untuk saya sebenarnya syaitan bertopengkan manusia”
“Umur aku 12 tahun aku dah jadi bibik kepada makcik aku sebab aku kurang kemampuan, tak sangka sebegini rupa aku kena masa dengan dorang”