Shajarat al-Hayat, nama pokok yang berada di tengah-tengah padang pasir berumur 400 tahun

Shajarat al-Hayat, nama pokok yang berada di tengah-tengah padang pasir berumur 400 tahun.

DI tengah-tengah padang pasir yang tandus dan gersang, terdapat sebatang pohon yang mampu hidup subur dan segar. Ia diberi nama Pokok Kehidupan atau Tree of Life. Masyarakat setempat pula menggelarnya sebagai ‘ Shajarat al-Hayat’.

Pokok setinggi hampir 10 meter tersebut dikatakan satu­-satunya tumbuhan berakar tunjang yang mampu hidup tanpa sumber air. Lokasi terletaknya pokok misteri ini ialah di salah sebuah gurun di Bahrain, dua kilometer dari Jabal Dukhan.

Di kawasan gurun yang kering kontang ini, adalah mustahil tumbuhan mampu hidup subur. Namun, keupayaan pokok ini hidup di gurun telah menjadikan ia sebagai salah satu keajaiban semula jadi alam.

Pokok purba ini dianggarkan berusia lebih 400 tahun. Ia diberi nama Pokok Kehidupan, sesuai dengan keajaibannya yang mampu hidup tanpa sumber air. Di sekelilingnya kosong, tanah tandus tanpa ada tumbuhan lain.

Kemampuannya hidup di tanah kontang menjadikan pokok ini luar biasa. Analisis tanah yang dijalankan pada tahun 1990-an menyimpulkan bahawa pokok itu telah ditanam pada tahun 1582. Di Bahrain dan negara-­negara sekitar Timur Tengah, pokok ini menjadi salah satu lokasi tarikan pelancongan. Lebih 65,000 pelancong datang ke sini setiap tahun untuk menyaksikan sendiri keajaiban pokok ini.

Shajarat al-Hayat, nama pokok yang berada di tengah-tengah padang pasir berumur 400 tahun

Sebahagian penduduk tempatan percaya pokok ini dilindungi oleh Enki, dewa air kuno dalam mitologi Babylon dan Sumeria. Tak kurang juga yang percaya pokok ini sisa tinggalan Taman Eden, taman yang menempatkan Adam dan Hawa (dalam Bible). Taman Eden dikatakan telah musnah selepas dilanda banjir yang besar.

Jika dilihat kepada bentuk geografi negara Bahrain, lebih 90 peratus daripada keseluruhan negara ini adalah kawasan padang pasir. Secara umumnya, Bahrain adalah sebuah negara kepulauan yang rata dan bergurun. Negara ini mengalami musim sejuk yang singkat dan musim panas yang sangat panjang.

Sumber airnya sangat terhad. Bahrain menerima hujan kurang daripada 10 hari dalam setahun. Negara ini tidak ada saluran longkang kerana air mudah tersejat. Jika diambil kira soal ini, memang mustahil sesuatu pokok itu dapat hidup subur lebih­-lebih lagi di tengah padang pasir. Kerana itu pokok ini dianggap sesuatu yang luar biasa.

Di kawasan gurun yang tandus, hanya pokok ini satu-satunya tumbuhan yang mampu hidup di sini.
Pokok ini adalah spesies yang tergolong dalam keluarga kekacang. Nama saintifik pokok ini ialah prosopis cineraria.

Pokok jenis ini tidak perlukan sumber air yang banyak, sebaliknya memerlukan cahaya matahari yang terik untuk hidup. Disebabkan itu, pokok ini lebih banyak ditemui di kawasan­ kawasan gurun di seluruh dunia.

Shajarat al-Hayat, nama pokok yang berada di tengah-tengah padang pasir berumur 400 tahun

Antaranya di wilayah­ gersang yang hanya menerima hujan rata-­rata kurang daripada 500 mililiter. Keadaan muka bumi yang gersang dengan musim kemarau yang panjang dan suhu yang ekstrem membolehkan pokok ini terus hidup.

Sistem akar pokok ini yang panjang dan berkembang boleh membantunya mendapatkan wap air dari tanah. Akar pokok ini tertanam jauh ke dalam tanah. Saintis berpendapat akar tunjang pokok ini tertanam jauh ke dalam tanah menjangkau kedalaman sehingga 50 meter yang membuatkan akarnya boleh mencapai punca mata air.

Ada juga pendapat mengatakan pokok ini mampu mengekstrak lembapan dari butiran pasir. Akarnya juga mempunyai bakteria yang boleh memperbaiki nitrogen dalam tanah. Keupayaan ini mampu menyuburkan tanah.

Antara lokasi lain yang boleh ditemui spesies pokok ini ialah di India, selatan Iran, Pakistan, Arab Saudi, Oman, Afghanistan dan negara­negara lain yang mempunyai gurun. Di India, spesies pokok ini menjadi salah satu pokok adat atau pokok suci di sekitar Punjab, Rajasthan dan barat Gujarat. Dengan sifatnya yang sangat rendang dan berdaun lebat, pokok ini menjadi tempat berteduh kepada manusia atau haiwan yang melalui gurun pasing yang panas terik.

Tree of Life di Bahrain ini menjadi salah satu lokasi pelancongan. Namun, apa yang membuatkan Pokok Kehidupan di Bahrain ini berbeza dengan di lokasi lain ialah kerana ia hanya hidup sebatang kara tanpa ada tumbuhan lain di sekelilingnya.

Pokok ini pernah dicalonkan pada tahun 2009 untuk disenaraikan dalam ‘New 7 Wonders of Nature’. Pada tahun 2010, ahli arkeologi menemui tembikar lama berusia 500 tahun beserta beberapa artifak lain di sekitar kawasan pokok ini.

BACA:
Wanita murung hampir lempar bayi baru lahir di laluan kereta api, niat dipatahkan pengawal keselamatan berhampiran
Gara-gara tak setuju parti politik bergabung bentuk kerajaan, penyokong rela dibaling tahi tanda mogok
Bapa selamba bagi anak main alat pam zakar, siap buat video untuk tontonan umum