Tular rakaman di media sosial seorang pemandu e-hailing berbangsa Cina yang tergamak memperlekehkan agama Islam ketika berbual dengan pelancong asing dari England, baru-baru ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna di TikTok, sepasang pelancong asing itu telah menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk bergerak ke suatu destinasi pada hari pertama bercuti di Malaysia.
Dalam perkongsian tersebut, pemandu e-hailing yang dikenali sebagai Henry menyapa mesra penumpangnya dan mencadangkan beberapa lokasi menarik untuk dikunjungi.
Henry, yang dipercayai mempunyai enam tahun pengalaman sebagai pemandu e-hailing, turut berkongsi pengalaman bercuti di Thailand yang dianggapnya sebagai syurga, namun pandangannya berbeza mengenai Malaysia.
Menurutnya, orang ramai tidak dapat berhibur tanpa batas memandangkan aktiviti minum arak dan berjudi tidak dibenarkan dalam agama Islam.
Apa yang membangkitkan lagi kemarahan ramai, dia mengesyorkan masyarakat yang beragama Islam untuk tinggal di dalam hutan kerana banyak hiburan diharamkan.
“Di sini kita sepatutnya boleh berseronok tapi ini adalah negara Islam, mereka mahu kita ikut cara agama mereka… itu sangat tidak adil, betul tak?
“Sebab mereka tidak minum arak, berjudi, jadi mereka haramkan arak dan judi. Tiada hiburan. Hidup macam dalam gua. Tinggal jelah dalam hutan tu, main Jumanji dan haiwan.
“Saya tak faham pemikiran rakyat Malaysia ni. Awak lahir kat dunia ni jadi enjoy jelah,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berang dengan perbuatan pemandu e-hailing tersebut yang jelas menghina dan memperlekehkan ajaran Islam.
Pihak berkuasa sila ambil tindakan!
Bukan itu sahaja, ramai yang menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu e-hailing tersebut yang sudah menyentuh isu sensitif.