“Tak payah jadi influencer la kalau cetek ilmu” – Pempengaruh tak boleh teka bendera negeri dikecam netizen.
Benar kata orang, sesiapapun boleh menjadi pempengaruh tetapi tidak semua mampu memberi nilai dan contoh teladan yang baik untuk masyarakat.
Hal ini berikutan tular sebuah video yang memaparkan beberapa pempengaruh terkenal yang dilihat ‘cetek’ ilmu pengetahuan am seperti bendera negeri-negeri di Malaysia.
Namun apa yang menyedihkan ialah apabila hampir semua gagal memberi jawapan betul sehinggakan ada juga yang langsung tidak mengetahui bendera sesetengah negeri.
Rentetan itu, ramai pengguna media sosial yang meluahkan kekecewaan terhadap individu-individu yang sudah tentu mempunyai pengaruh dan peminat tersendiri tetapi dangkal ilmu pengetahuan am.
“Bukan nak kecam tetapi ini fakta asas yang sudah belajar masa sekolah, sedih ya. Sepupu saya yang berumur 7 tahun pun dah kenal dan tahu bendera-bendera dalam Malaysia. Teruja dia bila saya tunjuk dan tanya soalan macam ini kepada dia,” komen Tini.
Dalam pada itu, beberapa pengguna turut menyuarakan pendapat dan bersetuju dengan saranan pensohor kandungan, Khairul Aming yang menekankan keperluan untuk pempengaruh untuk menjadi insan berpendidikan.
“Betul kata Khairul Aming, nak jadi pempengaruh, jadilah pempengaruh yang berpendidikan. Maksudnya walaupun awak terkenal tetapi orang suka dan angkat awak bukan kerana video atau kandungan yang dicipta tetapi nilai yang ditawarkan,” ulas Mohd Muiz.
Turut meninggalkan komen ialah Naddy yang kecewa dengan pempengaruh yang dilihat mahir dalam bidang sendiri namun tidak mampu menjadi rakyat Malaysia yang ‘sebenar’.
“Apa dah jadi, buat ulasan makanan bukan main lagi, tetapi ilmu pengetahuan asas mengenai bendera Malaysia pun tak tahu? Satu dua bendera keliru boleh faham lagi tapi semua tak tahu. Adakah dia betul-betul rakyat Malaysia,” katanya.