Pemain tengah dari pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Burnley FC, iaitu Joshua Brownhill, dikatakan memiliki darah keturunan Malaysia daripada ibunya.
Nenek beliau juga dikatakan berasal dari Malaysia, dan beliau dikatakan mengenal pemain tengah pasukan kebangsaan, Stuart Wilkin.
Maklumat ini didedahkan oleh laman pencarian bakat, Frfuturetalents, yang masih aktif mencari pemain keturunan Malaysia di luar negara.
“Joshua Brownhill dilahirkan di Warrington, England. Beliau memiliki darah Malaysia melalui ibunya. Nenek beliau juga berasal dari Malaysia. Joshua sangat mengenali pemain Harimau Malaya, Stuart Wilkin,” tulis Frfuturetalents.
Brownhill, yang berusia 28 tahun, merupakan salah satu pemain utama Burnley dalam saingan EPL musim ini. Beliau telah menjaringkan 3 gol dalam 27 penampilan berdasarkan rekod, termasuk satu gol di Piala FA.
Beliau juga membantu Burnley memenangi kejuaraan EFL Championship pada musim 2022-2023 dan tersenarai dalam 11 pemain terbaik pilihan pengurus liga itu.
Sepanjang kerjayanya dalam bola sepak, beliau tidak pernah dipanggil untuk mewakili England, tetapi sering mengikuti perkembangan pasukan Harimau Malaya di media sosial menerusi rakan baiknya, Stuart Wilkin.
Selain Joshua Brownhill, seorang lagi pemain yang dikatakan memiliki darah Malaysia adalah Marcus Joseph Tavernier dari pasukan AFC Bournemouth di EPL.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini dilaporkan sedang memantau perkembangan tiga hingga empat pemain kacukan baru untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan.
Kehadiran pemain-pemain ini memberi banyak pilihan kepada ketua jurulatih, Kim Pan-gon, untuk membentuk barisan mantap bagi skuad utama selepas beberapa pemain utama sedang meniti penghujung karier dan memerlukan pengganti untuk beberapa posisi penting.