Televisyen paling kecil di dunia, nampak klasik tapi mempunyai fungsi yang canggih.
Sebuah syarikat perkakasan yang pakar dalam pembuatan peranti elektronik kecil, iaitu TinyCircuits, baru-baru ini melancarkan dua set televisyen terkecil di dunia.
Dikenali sebagai TinyTV 2 dan TinyTV Mini, televisyen kecil ini merupakan hasil ciptaan Ken Burns, Pengasas dan Presiden TinyCircuits, dan dikeluarkan di Ohio, Amerika Syarikat.
TinyCircuits merupakan nama yang tidak asing dalam bidang penciptaan peranti elektronik bersaiz kecil di seluruh dunia. Pada tahun 2012, syarikat ini memperkenalkan projek pertamanya iaitu pemproses komputer kecil yang dikenali sebagai projek TinyDuino.
Walaupun televisyen ini kelihatan retro dan sekecil setem pos, sebenarnya ia berfungsi seperti televisyen biasa, dilengkapi dengan tombol pelarasan bunyi dan saluran. Kedua-duanya mempunyai kapasiti dalaman yang sama iaitu lapan gigabait (GB) dan disertakan dengan siri video pramuat.
Satu ciri menarik adalah pengguna boleh menyambungkan video ke TinyTV 2 atau TinyTV Mini dari komputer peribadi melalui USB-C dengan menggunakan perisian percuma yang disediakan oleh syarikat itu.
Kedua-dua televisyen ini juga boleh menyimpan antara 10 hingga 40 jam rakaman dan mempunyai paparan OLED yang terang. TinyTV 2 mempunyai paparan 1.0 inci (26 milimeter), manakala TinyTV Mini mempunyai skrin bersaiz 0.6 inci (15 milimeter).
TinyCircuits turut menyediakan penukar video percuma yang membolehkan pengguna menukar video menjadi format yang boleh dimainkan di kedua-dua televisyen kecil tersebut.

Pengguna juga berpeluang memuat naik filem kegemaran, program, dan video TikTok ke dalam komputer peribadi mereka dan menyeret fail tersebut ke dalam TinyTV dengan menggunakan perisian percuma yang disediakan oleh TinyCircuits.
Perisian ini juga membenarkan pengguna menambah kesan pada video seperti statik dan video looping.
Dari segi jangka hayat bateri, TinyTV 2 dapat bertahan selama kira-kira dua jam main video, manakala TinyTV Mini yang lebih kecil mempunyai bateri yang tahan selama kira-kira sejam.
Orang awam boleh mendapatkan TinyTV 2 atau TinyTV Mini pada harga AS$49 (RM230) atau AS$59 (RM277) jika mereka memilih versi sarung yang jelas. Pengguna juga boleh membeli alat kawalan jauh inframerah pada harga AS$10 (RM47).
Mengapa ramai yang tertarik dengan televisyen terkecil di dunia? Selain daripada daya tarikan saiz yang kecil, televisyen ini sangat popular di kalangan peminat diorama yang ingin memberikan sentuhan realistik kepada ciptaan mereka.