JPJ dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa mereka tidak pernah memberi kelulusan kepada syarikat BJAK untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian.
Menurut JPJ, tindakan BJAK Sdn Bhd mengiklankan perkhidmatan mereka melalui laman sesawang bjak.my dan media sosial adalah tidak benar.
“Kami menegaskan bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mahupun JPJ tidak pernah memberikan kelulusan kepada BJAK untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.
“JPJ juga ingin memaklumkan bahawa terdapat kenyataan yang telah dipaparkan oleh BJAK melalui laman sesawang mereka iaitu ‘Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ’ adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam,” katanya.
Oleh itu, JPJ menganggap serius tindakan BJAK yang menyediakan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan kepada orang ramai.
Dalam kenyataan itu, mereka juga telah menerima beberapa aduan daripada orang awam mengenai pembaharuan cukai jalan melalui laman sesawang BJAK, tetapi tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini.
“Kami ingin menjelaskan dan menegaskan bahawa tiada integrasi sistem di antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh BJAK.
“Dalam masa yang sama, JPJ juga telah menerima aduan ketidakpuasan hati orang awam yang mana perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan yang dikenakan oleh BJAK,” katanya.
Tambahan pula, MOT atau JPJ tidak pernah meluluskan sebarang pengenaan caj tambahan yang pada masa ini dikenakan oleh BJAK kepada pelanggan mereka.
Mereka menasihatkan orang ramai untuk melakukan urusan memperbaharui cukai jalan melalui kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform rakan niaga JPJ seperti Pos Malaysia, MyEG serta PUSPAKOM sahaja.