Mempunyai tubuh badan yang bebas daripada sebarang penyakit sehingga ke hari tua adalah impian semua orang.
Namun, adalah lumrah apabila usia meningkat, ramai akan mula mengalami penyakit seperti sakit sendi, lutut, belakang, dan penyakit kronik lainnya.
Namun, berbeza dengan seorang wanita ini apabila dia begitu gagah mengayuh basikal walaupun sudah berusia 75 tahun.
Kisah wanita itu dikongsikan oleh anak saudaranya sendiri, Haziq Mahmur yang kagum melihat warga emas yang dikenali sebagai Maklong Milah.
“Ini dia (Maklong Milah) baru sahaja pulang dari pekan menuju ke rumah. Masih sihat. Setiap hari beliau naik basikal ke sana sini.

“Saya boleh katakan, setiap hari sekurang-kurangnya dua kali beliau ke pekan yang jaraknya enam kilometer (6 km) pergi dan balik. Melalui jalan yang berbukit.
“Pada usia 75 tahun ini, beliau masih sihat tanpa sebarang penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, masalah jantung, dan sebagainya,” ujar Haziq.
Menurut pembekal ayam kampung tersebut, Maklong Milah yang tidak mempunyai zuriat tinggal seorang diri selepas kematian suaminya.
Selain daripada mengamalkan gaya hidup yang sihat, sikap ringan tulang dan rajin membantu penduduk kampung mendorong Maklong Milah bebas daripada penyakit.
Rutin harian Maklong Milah juga termasuk menunaikan solat lima waktu di masjid.
“Orang kampung di sini sangat mengenali beliau. Beliau baik hati, masak sedap, pandai membuat kuih, dan sering memberi kuih kepada saya.
“Di masjid, beliau sentiasa membantu dalam urusan pembersihan. Beliau juga menjadi ahli jawatankuasa untuk urusan wanita.
“Beliau adalah salah seorang penerima bantuan dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat). Penduduk kampung juga membantu beliau dengan memberikan keperluan harian. Orang di sini memang baik,” kata Haziq lagi.
Hantaran yang dikongsikan melalui laman X telah menarik perhatian ramai kerana mereka teruja melihat keadaan ibu saudara Haziq.
“Beginilah kehidupan di kampung. Bebas dari tekanan. Laluan tidak sesak. Makanan juga murah dan komuniti hebat saling menjaga.
“Belum lagi menyebutkan tentang tanah (harta) yang banyak dan hasil makanan sendiri. Yang penting, bebas dari riba. Semua dibayar secara tunai.
“Tidak kaya tidak mengapa, selagi hidup mencukupi. Tidak ada aset juga tidak mengapa, selagi tidak berhutang. Jiwa pun lapang,” katanya mengakhiri cerita.