Untuk tumbesaran bayi yang lebih sihat, elakkan dari bagi madu, ini punca yang ramai tak tahu.
Terdapat beberapa cara untuk mencegah bayi daripada terkena bakteria Clostridium Botulinum, antaranya adalah dengan tidak memberikan sebarang makanan yang mengandungi madu kepada bayi berusia di bawah satu tahun.
Setiap ibu bapa pasti merasai kegembiraan yang luar biasa dengan kedatangan bayi yang telah dinantikan begitu lama. Pelbagai persediaan dan perancangan dibuat, termasuklah dalam aspek pemakanan, aktiviti, pakaian, dan banyak lagi.
Namun, di tengah-tengah kegembiraan ini, sebagai ibu bapa, anda juga perlu tahu tentang larangan dan perkara yang tidak boleh dilakukan kepada bayi anda demi keselamatan dan kesihatan mereka.

Bayi tiga bulan lumpuh akibat diberi madu
Baru-baru ini, seorang pengamal perubatan berkongsi kisah seorang bayi yang mengalami lumpuh selepas diberi makan madu. Melalui video di TikTok, Dr Qarafi Tee menceritakan mengenai seorang bayi berusia tiga bulan yang, walaupun masih disusukan, menjadi tidak aktif dan enggan menyusu sehingga perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Doktor mengesahkan bahawa bayi itu mengalami Hypotonia (otot lemah) dan kemudiannya dimasukkan ke hospital. Walaupun pelbagai rawatan dan ujian telah dilakukan, doktor masih tidak dapat menemui punca masalah bayi tersebut, dan keadaannya semakin teruk.
Bakteria Clostridium Botulinum boleh menyebabkan otot lemah pada kanak-kanak
Akhirnya, doktor mengambil sampel najis bayi tersebut dan menemui bakteria Clostridium Botulinum yang menyebabkan keadaan bayi menjadi semakin teruk. Bakteria ini mengeluarkan toksin yang boleh menyebabkan otot kanak-kanak menjadi lemah dan paralisis.
@qarafitee Jangan bagi anak korang makan ni. terutamanya berumur 1 tahun ke bawah #drqarafitee #fyp #viral #learnontiktok ♬ Spooky, Quiet, Scary Atmosphere Piano – Bucyrus Audio
“Bayi itu mendapat bakteria itu kerana ibu bapanya memberikannya makanan tertentu, iaitu madu. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa hampir 10% madu yang dijual mengandungi Clostridium Botulinum,” jelas Dr Qarafi.
Usus bayi belum berkembang sepenuhnya
Dr Qarafi menekankan bahawa pengambilan madu oleh bayi berbeza dengan orang dewasa kerana usus bayi belum berkembang sepenuhnya. Bakteria tersebut boleh berkembang dan mengeluarkan toksin, menyebabkan paralisis.
“Walaupun nasib baik bayi itu mendapat rawatan dan sembuh, tetapi ini adalah amaran untuk semua ibu bapa untuk tidak terlalu mudah percaya dengan petua atau amalan tanpa membuat kajian yang teliti untuk keselamatan anak-anak anda,” pesannya.
Tanda-tanda bayi alami botulisme
Menurut Hello Doktor, antara tanda-tanda bayi mengalami botulisme boleh dilihat dalam tempoh lapan hingga 36 jam selepas pengambilan makanan yang terjejas. Namun, terdapat juga tanda-tanda yang mungkin muncul hingga 14 hari kemudian. Antara gejala botulisme pada bayi termasuk pergerakan lembik dan kelesuan, kurang selera makan, kesukaran menelan dan bernafas, air liur meleleh, tangisan lemah, ekspresi wajah kaku, dan sembelit.
Cara pencegahan oleh doktor
Dr Samhan, seorang pengamal perubatan, turut berkongsi cara-cara mencegah bayi daripada terkena bakteria ini. Ia termasuklah berhati-hati ketika makan di luar bersama bayi dan memastikan makanan yang diambil tidak mengandungi madu. Sekiranya bayi mendapat rawatan alternatif, pastikan ia tidak mengandungi madu. Juga, berhati-hati dengan makanan yang diproses dengan madu, kerana bakteria ini tidak dimusnahkan walaupun makanan telah diproses dan hanya boleh dimatikan dengan suhu yang sangat tinggi.
Akhirnya, Dr Samhan menasihatkan agar ibu bapa tidak memberikan madu kepada bayi yang berusia di bawah setahun sebagai langkah pencegahan utama.
CARA MENCEGAH
— Dr Samhan (@DoktorSamhan) December 20, 2023
✅ Hati-hati ketika makan di luar bersama bayi, pastikan sajian yang diambilnya tidak mengandungi madu.
✅ Jika mengambil rawatan alternatif, pastikan tiada yang berunsur madu.