Dunia dakwah Malaysia sekali lagi gempar dengan berita Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don, direhatkan oleh RTM semalam. Tindakan ini diambil ekoran dakwaan beliau tidak mematuhi garis panduan stesen penyiaran tersebut.
Menjelaskan mengenai isu hangat ini, Ustaz Don menegaskan telah berlaku salah faham berhubung perkara yang dibincangkannya. Menurut laporan Kosmo!, beliau menjelaskan bahawa topik menghormati guru yang dibincangkannya bukanlah hadis seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.
Petikan tersebut sebenarnya berasal dari kitab tulisan imam Masjidil Haram. Ustaz Don menafikan memetik hadis dari kitab Imam An Nawawi Al Bunyani berjudul Tanqihul Qaul Al Hadith Syadah Lubab Al Hadith. Beliau juga mempersoalkan tidak mungkin imam tersohor ini menulis perkara yang salah.
Ustaz Don menambah bahawa ini adalah kali pertama beliau tampil memberi penjelasan walaupun pernah dikaitkan dengan situasi seumpama ini sepanjang 14 tahun dalam dunia dakwah. Beliau menyatakan tiada rasa kecewa dan memaafkan semua pihak. Beliau turut berkata, “Malu saya kepada Imam Syafie kerana Imam Syafie memaafkan semua orang yang menyebabkannya terpenjara, (dugaan) saya kecil sahaja.”
Untuk rekod, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengumumkan bahawa program Salam Baitullah yang menampilkan Ustaz Don tidak akan diteruskan. Keputusan ini diambil susulan dakwaan Ustaz Don berkongsi hadis tanpa sanad atau sumber ketika menyatakan bahawa memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah.