Walaupun laut antartika sangat sejuk, ikan di sana masih berlegar dan tak beku, ini sebenar sebabnya.
Sebagai rakyat Malaysia sejati, kita pasti pernah mengalami ‘tipu daya’ bekas ais krim yang tersimpan di bahagian atas peti sejuk rumah kita.
Apabila membuka bekas tersebut dengan harapan tinggi ketika cuaca sedang panas, kegembiraan setinggi Gunung Kinabalu itu hancur apabila didapati isi kandungannya tidak seperti yang dijangkakan.
Kecewa melihat ikan beku di dalam bekas yang sepatutnya untuk ais krim dengan ilustrasi yang menggiurkan pada penutupnya, adakah anda pernah terfikir mengenai persoalan ini?
Ikan akan membeku apabila diletakkan di dalam kawasan dengan suhu di bawah takat beku. Walaupun begitu, ikan yang hidup di kawasan sangat sejuk dan beriklim ekstrem mampu berenang dengan tenang dalam perairan yang hampir mencapai takat beku.
Menurut Live Science, keadaan perairan di Lautan Antartika yang ekstrem sudah sepatutnya cukup untuk membekukan darah ikan. Namun, terdapat kandungan antibeku semula jadi dalam darah ikan yang memastikan kitaran darahnya terus berjalan.
Suhu Lautan Antartika adalah kira-kira -1.8 darjah Celsius, lebih rendah daripada takat beku darah ikan iaitu -0.9 darjah Celsius.
Walaupun demikian, ikan-ikan ini masih mampu berenang tanpa masalah, walaupun berada dalam perairan yang bersuhu sangat ekstrem.
Pertanyaan ini telah menjadi teka-teki selama lebih dari 50 tahun sehingga para penyelidik menemui satu agen penting dalam darah ikan.
Mereka menemui sejenis protein khas yang memberikan perlindungan terhadap suhu sejuk dalam darah ikan yang tinggal di perairan sejuk.
Protein antibeku ini lebih berkesan daripada agen antibeku yang terdapat dalam isi rumah. Bahan ini menghalang darah ikan daripada membentuk pepejal dan membeku di dalam perairan yang sangat sejuk.
Walaupun begitu, saintis masih belum memahami dengan tepat bagaimana bahan ini menghalang pembekuan darah ikan. Bagi menjawab persoalan ini, para penyelidik telah mengkaji protein antibeku Antarctic toothfish (Dissostichus mawsoni) dengan menggunakan teknik istimewa untuk merekam pergerakan molekul air yang bercampur dengan protein antibeku dari ikan tersebut.
Dengan kehadiran agen ini, molekul air tetap bergerak dan tidak membentuk kristal ais dengan merapat satu sama lain.