Warga asing semakin ‘mengganas’, buka meja berniaga di pasar malam, penduduk luah rasa pelik.
Kehadiran sekumpulan warga asing berniaga di pasar malam Taman Desa Cemerlang di sini menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat setempat.
Warga asing terbabit didapati menjual sayuran, telur dan barangan kering yang sekali gus menimbulkan tanda tanya siapa yang memberi kebenaran kepada mereka untuk berniaga di tapak pasar malam itu.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali Azim, 40, berkata kewujudan kumpulan warga asing menjalankan perniagaan di pasar malam itu bukan perkara baharu.
Menurutnya, kehadiran warga asing yang berniaga di situ turut menerima sambutan baik berikutan lokasi tapak pasar malam yang terletak bersebelahan dengan kawasan perindustrian yang mempunyai ramai pekerja asing.
“Bukan saja warga Pakistan, terdapat juga peniaga dalam kalangan warga Nepal dan Vietnam. Tidak dinafikan kehadiran mereka menjejaskan peniaga tempatan malah penduduk juga was-was dengan tahap kebersihan peniaga asing itu.
“Kami tidak pasti mereka beroperasi di petak disediakan oleh penganjur pasar malam atau tidak namun sepatutnya perkara itu tidak berlaku dan mereka perlu diambil tindakan,” katanya.
Katanya, pihak berkuasa tempatan perlu lebih tegas dan memantau tapak pasar malam berkenaan kerana jika leka, tidak mustahil makin ramai warga asing akan berniaga di situ.
Sementara itu, menerusi video dikongsi pengguna TikTok kelmarin, memaparkan pasar malam yang terletak di Jalan Meranti itu disertai warga Pakistan yang menjual telur manakala di sebelahnya warga Nepal menjual sayur.
Menurutnya, malah terdapat juga sekumpulan wanita yang dipercayai warga Myanmar menjual sayur selain seorang lelaki Nepal menjual ikan dan sayur.
“Bagaimanapun mereka boleh berniaga bersama-sama peniaga tempatan di pasar malam,” katanya.
Video berkenaan menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang turut bimbang dengan nasib peniaga tempatan sekiranya perkara itu berterusan.
@richiegoh4 ♬ original sound – RICHIE GOH