Zahid Hamidi yakin penganiayaan yang dikenakan kepada Najib Razak atas arahan kerajaan terdahulu, gesa peguam kaji semula. UMNO menggesa Jabatan Peguam Negara mengkaji semula semua pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jika memo daripada Jabatan Peguam Negara yang didakwa ditujukan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkaitan pertuduhan ke atas Najib yang tular baru-baru ini asli, beliau yakin jabatan itu akan mengambil tindakan segera bagi menggugurkan pertuduhan berkenaan.
“Rakyat, khususnya kepimpinan dan ahli UMNO menaruh keyakinan bahawa penganiayaan yang dikenakan kepada Datuk Seri Najib atas arahan kerajaan dan pemimpin ketika itu harus dijadikan asas untuk memperlihatkan bahawa keadilan mesti diberikan keutamaan oleh pihak Jabatan Peguam Negara.
“Kami mempunyai keyakinan penuh pada kredibiliti dan kemampuan Jabatan Peguam Negara untuk meneliti serta melakukan sesuatu yang lebih positif supaya Datuk Seri Najib benar-benar diberi keadilan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Jualan Desa Madani (JDM) hari ini.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai satu dokumen yang didakwa ‘Memo Dalaman’ daripada Jabatan Peguam Negara oleh pasukan pendakwaan bagi kes International Petroleum Investment Company (IPIC), iaitu firma pelaburan Abu Dhabi, bertarikh 10 September 2019, yang menyentuh mengenai enam pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Difahamkan, isi kandungan dokumen yang tular itu berbentuk cadangan daripada pasukan pendakwaan berkenaan, yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan yang dikenakan tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie.
Dokumen itu dikatakan ditujukan kepada Tommy, yang menjadi Peguam Negara ketika itu.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh turut mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat kesahihan dokumen berkenaan.